PGF Capital bangunkan tanah sebelah AHTV Proton City, libat GDV RM3 bilion

PGF Capital bangunkan tanah sebelah AHTV Proton City, libat GDV RM3 bilion

Source: https://www.dagangnews.com/article/pgf-capital-bangunkan-tanah-sebelah-ahtv-proton-city-libat-gdv-rm3-bilion-33681

PGF Capital merancang membangunkan tanah milik syarikat itu yang terletak bersebelahan AHTV, Proton City sebagai sebuah perbandaran bersepadu dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh M. HERMAN HAMID
herman@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jan – PGF Capital Berhad merancang membangunkan tanah miliknya yang terletak bersebelahan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Proton City, Tanjung Malim dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM3 bilion.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, syarikat itu berkata, pihaknya merancang membangunkan tanah tersebut sebagai sebuah perbandaran bersepadu dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. Jelas PGF Capital, pembangunan itu akan meliputi 160 hektar dengan lebih 6,000 unit kediaman dan komersial.

Projek itu juga antaranya merangkumi 98 hektar ladang pertanian, 21.2 hektar untuk aktiviti akuakultur, 118.2 hektar untuk ekopelancongan dan 28.7 hektar bagi gaya hidup komuniti termasuk penempatan untuk persaraan dan kesejahteraan.

“Projek serba lengkap ini mencerminkan komitmen PGF Capital untuk mewujudkan bukan sahaja sebuah perbandaran tetapi persekitaran hidup yang harmoni dan mampan,” kata kenyataan itu.

Pembangunan di lokasi tersebut juga menyasarkan untuk melengkapkan kemajuan pembangunan AHTV. Mengulas rancangan pembangunan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PGF Capital, Fong Wern Sheng berkata, pelan pembangunan hartanah ini dalam pertimbangan kelulusan Kerajaan Negeri Perak dengan pihaknya menyasarkan untuk melancarkan fasa pertama projek ini pada 2024.

“Kami telah menandatangani perjanjian usaha sama (JVA) dengan Malvest Properties Sdn Bhd, pemaju hartanah yang berpangkalan di Pulau Pinang yang berpengalaman dalam membangunkan pelbagai projek hartanah kediaman dan komersial untuk bersama-sama membangunkan Fasa 1.

“Dengan anggaran GDV sebanyak RM600 juta, Fasa 1 akan menawarkan 1,808 unit hartanah kediaman dan komersial yang disesuaikan dengan keperluan pasaran yang berbeza. “Menekankan reka bentuk mesra alam dan penyelesaian inovatif, pembangunan ini bukan sahaja menjanjikan pertumbuhan ekonomi tetapi menyemarakkan persekitaran kehidupan yang moden dan bertenaga,” katanya.

PGF Capital Berhad merupakan syarikat pengeluar penebat utama di Asia Tenggara. – DagangNews.com
(https://dagangnews.com)



Investing In Success Starts Here

Drop us your message, and we will reach out to you soonest.