27 Oct 2025 PGF Capital catat untung bersih RM5 juta pada 2QFY26, didorong permintaan stabil produk penebat
Source: PGF Capital catat untung bersih RM5 juta pada 2QFY26, didorong permintaan stabil produk penebat
KUALA LUMPUR 27 Okt – PGF Capital Berhad mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) sebanyak RM5 juta bagi suku kedua tahun kewangan yang berakhir pada 31 Ogos 2025 (2QFY26).
Pengeluar bahan penebat tempatan itu berkata, prestasi itu disokong oleh permintaan kukuh terhadap produk penebat serta hala tuju dasar hijau kerajaan yang jelas menerusi Belanjawan 2026.
Ia merekodkan hasil RM45.4 juta, meningkat 7.1% tahun ke tahun (YoY) berbanding RM42.4 juta pada 2QFY25, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) RM8.1 juta berbanding RM9.5 juta setahun lalu.
“Perkembangan ini dipengaruhi oleh kerugian belum direalisasi sebanyak RM1.1 juta daripada langkah pertukaran mata wang silang yang digunakan bagi rancangan pengembangan kumpulan,” katanya.
Tambah PGF Capital dalam kenyataan tersebut, sekiranya tidak pula mengambil kira isu kerugian tersebut, PBT terlaras kumpulan berkenaan dianggarkan mencecah RM9.2 juta bagi suku berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutifnya, Fong Wern Sheng, segmen penebat terus menjadi penyumbang utama dengan menyumbang 99.7% daripada jumlah
pendapatan.
“Kami mendapati permintaan dari rantau Oceania, khususnya Australia, adalah kekal kukuh disokong oleh inisiatif perumahan kerajaan Australia dan program tenaga cekap negara itu,” jelas beliau.
Katanya, matlamat Australia membina 1.2 juta rumah baharu serta program Victorian Energy Upgrades mengurangkan kos penebat siling sebanyak separuh, terus merangsang permintaan
terhadap produknya.
Wern Sheng berkata, Belanjawan 2026 menegaskan komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan hijau, termasuk pelaksanaan cukai karbon dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bernilai RM1 bilion.
Inisiatif itu termasuk Elaun Cukai Pelaburan Hijau 100% bagi produk bertauliah, akan mempercepat permintaan bahan binaan cekap tenaga, sejajar hala tuju global ke arah ekonomi rendah karbon.
“Dari segi pengembangan pula, loji baharu PGF Capital yang dibina di Kulim, Kedah kini berjalan mengikut jadual dan dijangka mula beroperasi penuh pada tempoh separuh pertama 2026,” jelasnya.
Loji ini tambah Wern Sheng, akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 tan metrik kepada 65,000 tan, sekali gus memberi lonjakan ketara kepada prestasi kumpulan tersebut.
Projek berkenaan jelah beliau, turut menikmati insentif cuti cukai korporat selama lima tambah lima tahun di bawah program khas ditetapkan menerusi Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).
Dalam segmen hartanah, projek kumpulan tersebut di Kulim Hi-Tech Park, Kedah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta dijangka dapat dilancarkan pada awal 2026.
“Sementara di Tanjong Malim, Perak, projek Diamond Creeks Country Retreat dengan melibatkan 1,808 unit kediaman dan komersial sudah berjaya mendapat kelulusan secara bersyarat,” kata Wern Sheng.
Beliau menjelaskan, pengumuman pembinaan kilang kenderaan elektrik (EV) pertama BYD di Tanjong Malim, akan menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan permintaan hartanah di kawasan tersebut.
Bagi separuh pertama tahun kewangan, PGF Capital mencatatkan hasil RM86 juta, meningkat 3.7% YoY, dengan PBT RM18.1 juta, manakala nisbah hutang bersih 0.25 kali dan **aset bersih RM1.41 sesaham.
Menurutnya, kombinasi permintaan global terhadap bahan penebat cekap tenaga, dan dasar hijau kerajaan terus memacu pertumbuhan mampan PGF Capital dalam tahun-tahun akan datang. –
DagangNews.com (https://dagangnews.com)