PGF Capital catat untung RM2.03 juta bagi suku ketiga disumbangkan terutama menerusi segmen penebat

PGF Capital catat untung RM2.03 juta bagi suku ketiga disumbangkan terutama menerusi segmen penebat

KUALA LUMPUR 30 Jan – PGF Capital Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM2.03 juta bagi suku ketiga berakhir 30 November 2022 daripada RM3,900 yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 31% kepada RM17.75 juta daripada RM13.52 juta, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 November 2022, kumpulan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM11.16 juta daripada RM1.05 juta manakala pendapatan meningkat 62% kepada RM66.14 juta daripada RM40.76 juta.
Segmen penebat terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan, menyumbang RM17.36 juta pada suku berkenaan yang diterjemahkan kepada kira-kira 98% daripada jumlah pendapatannya.
Ia mencerminkan peningkatan sebanyak RM4.17 juta atau 32% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, segmen pegangan pelaburannya merekodkan keuntungan sebelum cukai hampir RM2,000 manakala segmen pelaburan hartanah pula mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM240,000.
Segmen lain yang merangkumi aktiviti pertanian dan akuakultur mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM510,000. Ini disebabkan peningkatan dalam aktiviti dan perbelanjaan yang dilakukan sebelum penuaian.
Pengerusi Eksekutif PGF Capital, Fong Wern Sheng berkata, sejajar dengan perancangan  meningkatkan bahagian pasaran di rantau Oceania, kumpulan memperoleh pajakan beberapa gudang di lokasi strategik di seluruh bandar utama di Australia melalui anak syarikat milik penuhnya, PGF Insulation Pty. Ltd. yang diperbadankan di Australia pada Mei 2022.
Katanya, kumpulan telah membuka ibu pejabat serantau di Melbourne bagi membolehkannya berada dalam jarak yang lebih dekat dengan pasaran Oceania, meningkatkan keupayaan untuk menyediakan penyelesaian setempat dan menawarkan rangkaian produk yang lebih luas kepada pasaran.
“Oleh itu, kami optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek kumpulan di rantau Oceania memandangkan permintaan di rantau ini akan terus kukuh.
“Ini berikutan semakan Kod Pembinaan Nasional (NCC) di Australia dan Kod Bangunan di New Zealand yang memerlukan lebih banyak penebat untuk mencapai penarafan kecekapan tenaga yang lebih tinggi untuk bangunan di negara ini, mencerminkan pertumbuhan yang baik sejajar dengan rancangan pengembangan PGF di rantau ini,” katanya. – DagangNews.com


Investing In Success Starts Here

Drop us your message, and we will reach out to you soonest.