PGF Capital jangka permintaan produk berkaitan gentian kaca terus jadi pemacu keuntungan FY24 | DagangNews

PGF Capital jangka permintaan produk berkaitan gentian kaca terus jadi pemacu keuntungan FY24 | DagangNews

Source: https://www.dagangnews.com/article/pgf-capital-jangka-permintaan-produk-berkaitan-gentian-kaca-terus-jadi-pemacu-keuntungan-fy24-28775

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai – PGF Capital Berhad positif terhadap prospek FY24 dan menjangkakan permintaan gentian kaca dan produk berkaitan terus menjadi pemacu kepada keuntungan kumpulan itu.

Kumpulan itu juga menjangkakan perubahan minimum dalam sumbangan daripada segmen penebat dalam tahun kewangan semasa berakhir 29 Februari 2024.

Katanya, dengan penurunan beransur-ansur dalam kos pengangkutan laut, mereka menjangkakan margin keuntungan bertambah baik dengan pengurangan kos operasi.

Pembukaan gudang baharu Australia juag membolehkan PGF Capital menyasarkan untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan tempatan serta rangkaian pengedarannya bagi meraih pasaran lebih besar di Oceania.

“Australia dan New Zealand adalah pasaran utama PGF Capital, mempunyai keperluan hidup mampan yang ketat yang mendorong permintaan yang konsisten untuk produk penebat.

“Dengan setiap semakan kod bangunan untuk memenuhi piawaian yang lebih tinggi, keperluan untuk penebat kekal. Bagaimanapun, pasaran hartanah Australia kini mengalami kelembapan, terutamanya dalam projek perumahan baharu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya.

Bagi menangani keadaan perniagaan yang mencabar, kerajaan Australia telah membuat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan kod bangunan yang disemak, yang merangkumi keperluan penebat yang lebih tinggi dengan penguatkuasaan bermula 1 Jun 2024.

Semasa AGM itu, pemegang saham kumpulan telah meluluskan dividen akhir dikecualikan cukai sebanyak 1.0 sen sesaham untuk FY23, menjadikan jumlah pembayaran dividen kepada 2.0 sen.

Mulai tahun kewangan 2024 dan seterusnya, kumpulan itu menyasarkan untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersihnya sebagai dividen, tertakluk kepada ketersediaan rizab boleh agih yang mencukupi dan faktor lain yang berkaitan untuk mengekalkan operasinya. – DagangNews.com

 



Investing In Success Starts Here

Drop us your message, and we will reach out to you soonest.