27 Apr 2026 PGF Capital raih pendapatan hampir RM170 juta pada FY26, tertinggi dalam sejarah syarikat
KUALA LUMPUR 27 April – PGF Capital Berhad mencatatkan hasil pendapatan tertinggi dalam sejarah syarikat sebanyak RM167.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26),
meningkat 8.3% berbanding RM155.0 juta pada tahun sebelumnya, meskipun berdepan persekitaran operasi global yang mencabar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PGF Capital berkata pertumbuhan tersebut disokong oleh prestasi kukuh segmen perniagaan penebat (insulation), yang terus menjadi pemacu utama
pendapatan kumpulan.
“Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) susut kepada RM36.9 juta berbanding RM47.0 juta pada FY25, dipengaruhi oleh faktor bukan operasi termasuk keuntungan pertukaran asing
tidak direalisasi sebanyak RM7.9 juta.
“Keuntungan selepas cukai (PAT) turut berkurang kepada RM26 juta berbanding RM33.9 juta pada tahun sebelumnya,” kata PGF Capital dalam makluman tersebut.
Syarikat menjelaskan prestasi FY25 turut dipengaruhi oleh keuntungan luar biasa hasil pembalikan kerugian rosot nilai tanah, iaitu item tidak berulang yang tidak mencerminkan prestasi
operasi sebenar.
Setelah pelarasan dibuat terhadap kesan item tersebut, prestasi asas bagi FY26 didapati lebih kukuh dan lebih mencerminkan kekuatan operasi semasa kumpulan.
Dari segi pecahan pendapatan, segmen penebat kekal dominan dengan sumbangan RM167.2 juta atau 99.6% daripada jumlah hasil kumpulan, manakala baki RM0.7 juta atau 0.4% disumbangkan
oleh segmen pegangan pelaburan dan lain-lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PGF Capital, Fong Wern Sheng berkata pencapaian pendapatan rekod itu mencerminkan ketahanan permintaan terhadap produk penebat kumpulan
walaupun dalam persekitaran global yang mencabar.
Beliau berkata peningkatan keperluan terhadap kecekapan tenaga serta piawaian karbon di pasaran utama yang lebih ketat menjadikan produk penebat sebagai keperluan asas dalam
industri pembinaan moden, sekali gus menyokong permintaan jangka panjang.
PGF Capital turut memperkukuh strategi pertumbuhan melalui pensijilan SIRIM dan BOMBA ke atas panel “sandwich” yang diedarkannya, sekali gus membuka peluang kepada peluasan aplikasi
dalam segmen bernilai tinggi termasuk pembangunan pusat data.
Dalam masa sama, kumpulan itu sedang membangunkan kilang baharu di Kulim yang dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2026, dengan tujuan meningkatkan kapasiti
pengeluaran serta kecekapan operasi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Syarikat turut menyatakan bahawa ketidaktentuan geopolitik, khususnya di Timur Tengah, telah memberi kesan kepada turun naik harga tenaga, namun PGF Capital kekal memberi fokus kepada
disiplin operasi dan pengurusan kos bagi mengekalkan daya tahan perniagaan.
Dari sudut kedudukan kewangan, kumpulan mencatatkan nisbah gearing bersih pada tahap 0.4 kali, dengan aset bersih sesaham RM1.48, serta menjana aliran tunai operasi bersih sebanyak
RM30.7 juta bagi tahun kewangan berkenaan.
PGF Capital turut mencadangkan dividen pertama dan akhir sebanyak 3.5 sen sesaham bagi FY26, mewakili jumlah pembayaran kira-kira RM6.8 juta atau nisbah pembayaran sebanyak 26.1%,
tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang.
-DagangNews.com (https://dagangnews.com)